Tuesday 7 April 2009

DOKUMEN DAN TERUMBU JADI PENGAJARAN PERIHAL KEDAULATAN

MEMANG menjadi kelemahan manusia, bila terhantuk baru terngadah.
Peribahasa yang cukup tepat untuk mencerminkan kelemahan kita. Manakan tidak, selepas sekian lama satu terumbu yang kita panggil Pulau Batu Puteh menghiasi peta negara, ia tiba-tiba lenyap hampir begitu sahaja.

Malu sudah semestinya kerana terumbu itu yang nyata dalam wilayah kita tapi akhirnya milik hakiki orang jauh yang sungguh-sungguh mengusahakannya.
Sedih kerana mengenangkan kepayahan dan kejanggalan para nelayan kita yang tidak lagi boleh menghampiri kawasan itu walau ia umpama di depan mata.
Marah tidak dapat dinafikan perasaannya kerana ia berakhir sedemikian angkara kelemahan kita yang tidak cermat dengan dokumen.

Tabiat mengambil mudah terhadap pentingnya menyimpan dokumen, tidak kiralah berkaitan dengan apa dan siapa, di kalangan kita perlu segera diubah.
Dokumen, terutama yang lama tidak boleh dibiarkan tanpa pengawasan. Pedulikanlah jika ada yang mempersendakan dengan berkata ia layak dihantar ke muzium sahaja.

Meminjam kata-kata Menteri Besar, Dato’ Abdul Ghani Othman semasa berucap pada persidangan Dewan Negeri yang lepas:“Jangan ambil mudah (dengan dokumen) kerana mungkin ia digunakan oleh mana-mana pihak untuk kepentinganmereka.
“Kita kena simpan semua dokumen,”.

Sekurang-kurangnya nasib Pak Kaduk tidaklah buruk sangat. Walau kampung tergadai, masih boleh tersenyum kerana menang sorak
Kita sudah mempelajari sesatu yang pahit dan seharusnya tidak akan terhantuk lagi.
Untuk itu, kedaulatan kita ke atas dua buah pulau lagi – Pulau Pisang dan Merambong yang amat dikhutariti menerima nasib serupa terumbu Batu Puteh sudah kita perkukuhkan.
Dokumen menyata keizinan Sultan Ibrahim kepada British hanya untuk sebidang tanah seluas 0.4 hektar di atas Pulau Pisang semata-mata bagi didirikan sebuah rumah api disimpan rapi.
Hak milik mutlak ke atas keseluruhan pulau itu juga terbukti di Pejabat Tanah dan Galian.
Begitu juga dengan Pulau Merambong. Selain dokumen milik sahih, batu penanda sempadan juga sudah jelas kelihatan.

Tidak mustahil sedikit masa lagi Jalur Gemilang akan berkibar gagah di pulau tak berpenghuni ini sebagai bukti ia milik kita tanpa boleh dipertikaikan lagi.

No comments:

Post a Comment